SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri yakin mampu membiayai projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) meskipun kosnya mencecah RM2.937 bilion, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI telah merangka beberapa mekanisme pembiayaan termasuk terbitan sukuk, pinjaman komersial, pertukaran tanah dan penjanaan aset bagi memastikan projek itu berjalan mengikut jadual.
“Dari segi kemampuan membayar balik, MBI telah mengadakan beberapa siri perbincangan termasuk dengan institusi pemberi pinjaman (bagi pinjaman komersial). Keperluan pembiayaan keseluruhan projek perlu diselesaikan menjelang 2029 melalui satu kaedah pembayaran.
“Pilihan seperti menerbitkan sukuk juga boleh diterokai,” katanya ketika menggulung Belanjawan Selangor 2026 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menambah MBI turut mengenal pasti lapan lot tanah bernilai RM295.7 juta untuk ditukar dengan pemaju projek, Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB).
Beberapa komponen komersial dalam projek KSSA termasuk hotel, terminal pengangkutan, dewan acara, dataran parkir dan kemudahan sukan dijangka mampu menjana sehingga RM500 juta sebelum projek siap sepenuhnya.
“Ini bermakna pertukaran tanah, penjanaan beberapa komponen projek serta pembiayaan melalui sukuk dan pinjaman komersial boleh dilaksanakan bagi menampung kos RM2.93 bilion itu. Jadi kita yakin mampu membiayai projek ini,” katanya.
Menteri Besar turut yakin MBI mampu memenuhi komitmen pinjaman atau sukuk melalui beberapa inisiatif dan strategi pelaburan yang dirancang, sambil menegaskan Kerajaan Negeri akan menjamin sebarang pembiayaan yang diambil.
Beliau menegaskan pelupusan aset negeri kekal sebagai pilihan terakhir dan memberi jaminan bahawa rizab Selangor tidak akan diganggu.
Terdahulu, Amirudin berkata projek KSSA yang kini dalam peringkat perancangan pembinaan akan diteruskan selepas arkitek dan jurutera memuktamadkan reka bentuk terperinci.
Setakat ini, perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) masih belum dimeterai dan dijangka dimuktamadkan pada suku pertama tahun depan.
“Bagaimanapun melalui perjanjian pembangunan antara MBI dan pemaju, kita membenarkan kerja tanah dimulakan, bermakna sebelum perjanjian EPCC ditandatangani, kerja tanah awal boleh dilaksanakan,” katanya.
Mengenai yuran perunding, kadar 9.4 peratus berada dalam lingkungan biasa bagi pembangunan berskala besar iaitu antara lapan hingga 12 peratus.
Pembangunan baharu KSSA akan menempatkan stadium baharu untuk Selangor FC dengan kapasiti 30,000 hingga 40,000 tempat duduk, selain kawasan riadah awam dan aktiviti komersial.
Ia turut merangkumi ruang rekreasi awam, kemudahan sukan, serta kemudahan seperti gelanggang tertutup, dewan serbaguna, hotel, masjid, ruang acara dan kawasan runcit.





