SHAH ALAM, 27 JAN: Seramai 1,260 peniaga ditawarkan tapak Bazar Ramadan di sekitar Petaling Jaya tahun ini, menurut Jabatan Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menurutnya, tapak bazar tersebut melibatkan 13 lokasi utama yang dikenal pasti bagi memenuhi keperluan peniaga serta orang ramai sepanjang Ramadan.
"Undian tapak peniaga Rabu ini. Antara lokasi terlibat ialah Kampung Lindungan PJS 6/3, Desa Mentari PJS 6/5, SS 8, Sungai Way, Seksyen 17/1A, Seksyen 14/27 (Pasar Seksyen 14), Lembah Subang serta beberapa lokasi lain.
"Menyediakan tapak bazar yang terancang bertujuan memastikan kelancaran operasi perniagaan, keselesaan pengunjung serta pematuhan aspek kebersihan dan keselamatan makanan sepanjang Ramadan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, MBPJ memaklumkan permohonan lesen jualan mercun dan bunga api sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri akan dibuka mengikut tarikh ditetapkan.
"Bagi Tahun Baharu Cina, permohonan lesen dibuka pada 3 Februari manakala tempoh jualan dibenarkan dari 10 Februari hingga 3 Mac 2026.
"Sementara itu, bagi Aidilfitri, tarikh permohonan bermula 26 Februari dengan tempoh jualan dari 5 hingga 27 Mac 2026," katanya.
PBT itu menambah, semua pemohon perlu mendapatkan kelulusan awal daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sebelum melengkapkan permohonan secara dalam talian melalui portal elesen.mbpj.gov.my.
"Sebarang pertanyaan, hubungi urus setia di talian 013-9410146 (Jabatan Pelesenan, Pembangunan Perniagaan & Usahawan, MBPJ).
"Orang ramai turut diingatkan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan demi keselamatan dan kesejahteraan," maklum jabatan itu.







