SHAH ALAM, 26 JAN: Sebanyak 1,646 menara komunikasi baharu siap dibina setakat 31 Disember lalu menerusi infrastruktur digital di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan jumlah itu merangkumi 99.1 peratus daripada sasaran 1,661 menara baharu dengan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN).
Menurut agensi itu, keseluruhan pembinaan menara baharu menerusi pendekatan Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN) dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini.
“Bilangan premis yang diliputi rangkaian meningkat daripada 4.96 juta premis sebelum pelaksanaan JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat akhir Disember 2025, melepasi sasaran sembilan juta premis.
“Kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih juga meningkat kepada 143.70 Mbps, melepasi sasaran yang ditetapkan. Setakat akhir Disember 2025, liputan Internet di kawasan berpenduduk meningkat daripada 91.8 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA kepada 99.71 peratus,” menurut kenyataan SKMM.
Pencapaian ini disokong oleh pembangunan rangkaian oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO), termasuk pembinaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada, serta manfaat perkongsian MOCN.
Setiap MNO telah mengemukakan perancangan penambahbaikan liputan yang dipantau oleh SKMM, disokong oleh Garis Panduan Industri bagi Perkongsian Infrastruktur Rangkaian yang dilaksanakan sejak Ogos lalu.
“Pendekatan pelaksanaan bersasar dan berfasa membolehkan peluasan liputan internet dilakukan secara lebih cekap dan berkesan, termasuk ke kawasan kurang berpenduduk seperti sepanjang jajaran lebuh raya, melalui penggunaan teknologi bersesuaian atau fit-for-purpose.
“SKMM akan terus memantau pelaksanaan ini bagi memastikan peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan Internet dilaksanakan secara mampan dan berterusan, selaras dengan objektif JENDELA Fasa 2 untuk memperluas akses Internet ke kawasan berpenduduk jarang serta koridor pengangkutan utama,” jelas SKMM.


