KUALA LUMPUR, 28 NOV: Ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula pada 10.10 hingga 10.30 pagi esok bagi menguji keupayaan sistem itu menyalurkan notifikasi kecemasan secara pantas kepada telefon bimbit pengguna.
MySiren ialah Sistem Amaran Awal (EWS) Malaysia yang dibangunkan untuk memberi amaran kepada orang ramai semasa kecemasan, supaya mereka dapat mengambil tindakan segera bagi melindungi nyawa dan harta benda.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi jawapan soalan lazim (FAQ) di laman sesawang rasminya memaklumkan amaran boleh dikeluarkan bagi ancaman serius terhadap nyawa, kesihatan, keselamatan atau harta benda, termasuk kejadian cuaca buruk, banjir, tsunami, kebakaran besar, insiden bahan berbahaya serta ancaman keselamatan awam.
Menurut FAQ itu, ujian amaran awam di seluruh negara dilaksanakan bagi menilai prestasi sistem dan mengenal pasti sebarang isu teknikal, termasuk cara amaran disiarkan serta diterima.
Sistem yang dibangunkan menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) itu menyalurkan amaran secara serentak kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan terjejas melalui rangkaian 4G dan 5G tanpa menggunakan trafik data.
Kaedah berkenaan membolehkan amaran diterima walaupun rangkaian mengalami kesesakan atau kuota data pengguna telah habis, berbeza dengan sistem pesanan ringkas (SMS) yang menghantar mesej kepada nombor telefon tertentu secara bergilir-gilir.
SKMM turut menggalakkan pengguna mengemas kini sistem operasi telefon bimbit, mengaktifkan fungsi perisian peranti masing-masing, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini serta memastikan tetapan amaran kecemasan diaktifkan.
“Keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS ialah iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, telefon Android 12 atau versi terkini serta peranti Huawei dengan EMUI 16 atau versi terkini, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir,” menurut SKMM.
SKMM memaklumkan agensi pengurusan bencana yang diberi kuasa boleh mengeluarkan enam kategori amaran mengikut jenis dan tahap keterukan kecemasan, iaitu Amaran Kebangsaan, Amaran Ekstrem, Amaran Teruk, Amaran Orang Hilang, Amaran Ujian dan Amaran Latihan.
Pada 23 November lalu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata MySiren hanya berfungsi menghantar notifikasi kepada pengguna tanpa mempunyai sebarang akses kepada data peribadi pemilik peranti.
“MySiren ini berbeza dengan kaedah SMS, apabila pesanan dihantar kepada nombor penerima. Sistem yang digunakan ini tidak mendapatkan apa-apa maklumat mahupun data daripada peranti pengguna.
“Ia juga tidak melibatkan sebarang kos kepada penerima pesanan,” katanya.
Fahmi berkata ujian amaran itu bertujuan membiasakan masyarakat dengan bunyi amaran khusus MySiren, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan orang ramai ketika berdepan situasi kecemasan.
Beliau berkata SKMM kekal sebagai agensi yang mengendalikan sistem MySiren manakala pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa tempatan turut diberikan akses kepada sistem berkenaan.
MySiren mula dibangunkan pada 2025 dengan kos keseluruhan berjumlah RM200 juta, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024.
Untuk maklumat rasmi dan perkembangan terkini mengenai MySiren, layari www.mcmc.gov.my/mysiren dan rujuk saluran komunikasi rasmi MCMC, NADMA serta pihak berkuasa lain berkaitan.







