SHAH ALAM, 28 DIS: Liputan perkhidmatan telekomunikasi khususnya melibatkan pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile terjejas susulan kebakaran sebuah menara komunikasi di Kampung Kelebor berhampiran Kuala Kangsar semalam.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden itu membabitkan menara milik Maxis yang menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis, dan berlaku kira-kira jam 6.50 petang.
Antara kawasan terjejas ialah Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.
Menurut SKMM, liputan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran lokasi kejadian turut terkesan.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan akses ke lokasi ditutup sementara bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan terlibat melaksanakan tindakan pembetulan segera serta menyediakan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah sementara, SKMM memaklumkan kemudahan WiFi satelit Starlink telah diaktifkan di R&R Sungai Perak arah utara bagi memastikan pengguna lebuh raya terus mempunyai akses komunikasi.
Dalam pada itu, SKMM turut mengarahkan pemilik menara dan penyedia perkhidmatan memperketat penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal dan pemantauan berterusan di semua menara bagi menjamin kebolehpercayaan rangkaian serta keselamatan pengguna.
Semalam, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan tuan tanah menggunakan alat pemadam api dan air tadahan.







