Hutan LBR Dash Denai Alam terbakar, api berjaya dikawal sepenuhnya - Bomba

26 Jan 2026, 10:27 AM
Hutan LBR Dash Denai Alam terbakar, api berjaya dikawal sepenuhnya - Bomba

SHAH ALAM, 26 JAN: Kebakaran hutan seluas kira-kira lima ekar dilaporkan berlaku di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (LBR DASH), Tol Denai Alam, tengah hari tadi, namun api berjaya dikawal sepenuhnya.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari.

"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi pada jam 1.22 petang selepas menempuh jarak kira-kira 12 kilometer," katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahmad Mukhlis, kebakaran melibatkan kawasan hutan dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.40 petang, namun kerja-kerja pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada titik api tersisa.

"Operasi membabitkan lapan anggota menggunakan sebuah jentera pemadam dan penyelamat serta sebuah tangki air. Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat," katanya.

Beliau turut memaklumkan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama digerakkan, dengan ketibaan jentera PBS di lokasi pada jam 3.24 petang.