Bantuan sekolah Yayasan MBI dibuka, sasar 300 pelajar setiap DUN

26 Jan 2026, 9:15 AM
Bantuan sekolah Yayasan MBI dibuka, sasar 300 pelajar setiap DUN

SHAH ALAM, 26 JAN : Ibu bapa boleh mula memohon bantuan sumbangan persekolahan di bawah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang dibuka hari ini.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata permohonan boleh dibuat di pusat khidmat masyarakat atau penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhampiran.

"Permohonan ini dibuka selama dua minggu bermula hari ini. Bantuan wang tunai RM100 bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak ke sekolah.

"Kuota setiap DUN adalah 300 pelajar. Antara syarat permohonan adalah pendapatan isi keluarga bawah RM5,000," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Yayasan MBI di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Azri berkata hampir RM20 juta di belanjakan sepanjang lebih 10 tahun bagi membantu kira-kira sejuta pelajar menyediakan kelengkapan sekolah.

Usaha itu juga sebagai langkah memastikan pelajar terutama kalangan keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada akses pendidikan.

Pemohon perlu mendaftar di pusat khidmat DUN masing-masing dan menyediakan dokumen sokongan antaranya salinan kad pengenalan ibu bapa, sijil kelahiran atau MyKid.

Selain bantuan itu, Yayasan MBI turut menyalur pelbagai inisiatif pendidikan antaranya Program Tuisyen Rakyat Selangor, sumbangan komputer riba serta rangkaian data internet.