Bantuan Yayasan MBI ringan beban pelajar dan mangsa bencana

26 Jan 2026, 9:07 AM
Bantuan Yayasan MBI ringan beban pelajar dan mangsa bencana
Bantuan Yayasan MBI ringan beban pelajar dan mangsa bencana
Bantuan Yayasan MBI ringan beban pelajar dan mangsa bencana
Bantuan Yayasan MBI ringan beban pelajar dan mangsa bencana

SHAH ALAM, 26 JAN: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terus memperkukuh tekad membantu golongan memerlukan menerusi penyaluran bantuan pendidikan dan kebajikan kepada penerima yang layak.

Antara penerima, Qistina Wafiyyah Shahrul Nizam, 23, menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM5,000 bagi menyokong penglibatannya dalam Global Student Leadership Summit (GSLS) yang berlangsung di Jepun pada Disember lalu.

Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) itu berkata beliau membentangkan kertas kerja dalam program antarabangsa berkenaan.

Qistina Wafiyyah Shahrul Nizam

“Saya mengetahui mengenai sumbangan ini menerusi media sosial dan cuba membuat permohonan. Alhamdulillah, permohonan berjaya. Walaupun GSLS berlangsung pada hujung tahun lalu, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan terlibat.

“Terima kasih kepada Yayasan MBI atas peluang dan sumbangan yang diberikan. Saya berharap akan ada lagi bantuan seumpama ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Yayasan MBI turut menyalurkan bantuan kebajikan berjumlah RM1,000 kepada A Rosegreazeey, 46, yang terjejas akibat ribut di Pelabuhan Klang pada Oktober tahun lalu.

A Rosegreazeey

Beliau berkata bumbung rumahnya musnah akibat kejadian tersebut namun bersyukur menerima bantuan pantas daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) yang membantu membaik pulih kediamannya.

“Selain itu, bantuan hari ini daripada Yayasan MBI juga sangat membantu kami sekeluarga. Terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Norsariyah Mohamed Jamil, 38, turut menerima bantuan RM1,000 selepas gerai perniagaan nasi Arab miliknya musnah akibat ribut pada November lalu.

Norsariyah Mohamed Jamil

“Proses permohonan dengan Yayasan MBI juga mudah dan tidak banyak kerenah. Alhamdulillah, terpilih sebagai penerima. Terima kasih kepada Yayasan MBI.

“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu menampung kos untuk memulakan semula perniagaan,” katanya yang menetap di Taman Sutera, Kajang.