Yayasan MBI antara pasukan terawal bantu mangsa bencana, pastikan kebajikan terbela

7 Dis 2025, 11:30 AM
Yayasan MBI antara pasukan terawal bantu mangsa bencana, pastikan kebajikan terbela

PETALING JAYA, 7 DIS: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terus menjadi antara pasukan terawal turun ke lokasi setiap kali berlakunya bencana, termasuk kejadian ribut di Blok 3 PJS 6/4E, Kampung Lindungan baru-baru ini.

Wakil Yayasan MBI Zakwan Ali berkata usaha membantu mangsa bencana menjadi keutamaan yayasan bagi meringankan beban mangsa sekali gus memastikan kebajikan mereka terbela.

“Yayasan MBI sentiasa menjadi antara pasukan terawal turun membantu setiap kali bencana berlaku.

”Kami komited meringankan beban mangsa walaupun tidak dapat menggantikan semua kerugian sepenuhnya,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan hari ini.

Wakil Yayasan MBI Zakwan Ali (kiri) bersama Ahli Majlis MBPJ Zon 24 Farhan Shah (dua, kiri) menyampaikan sumbangan Yayasan MBI kepada mangsa bencana ribut Blok 3 PJS6/4E Kampung Lindungan di Dewan Keluarga Harmoni, Petaling Jaya pada 07 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Berlangsung di Dewan Keluarga Harmoni di sini, bantuan kewangan berkenaan diberikan kepada 15 keluarga membabitkan 12 rumah pangsapuri dengan masing-masing menerima RM500 dan tiga rumah teres masing-masing RM1,000.

Zakwan menambah, mangsa yang masih memerlukan bantuan tambahan boleh menghubungi pejabat pihak berkuasa tempatan, pejabat Ahli Dewan Negeri atau pejabat Ahli Parlimen untuk tindakan susulan sebelum permohonan dipanjangkan kepada Yayasan MBI.

“Program ini menzahirkan kerjasama erat antara Yayasan MBI, pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat setempat dalam memastikan kebajikan penduduk terjejas terus terbela, terutama ketika cuaca tidak menentu sejak beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 24 Farhan Shah berkata sumbangan kewangan itu sedikit sebanyak membantu mangsa menampung kos baik pulih kediaman.

Ahli Majlis MBPJ Zon 24 Farhan Shah di program penyerahan Sumbangan Mangsa Bencana Ribut Blok 3 PJS6/4E Kampung Lindungan di Dewan Keluarga Harmoni, Petaling Jaya pada 7 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kami berharap bantuan ini digunakan sebaik mungkin untuk membaiki kerosakan dan mengganti barangan rosak,” katanya.

Farhan menambah pihaknya turut memohon bantuan tambahan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menggantikan keseluruhan struktur bumbung yang dijangka bermula tahun depan.

Beliau juga menasihati penduduk supaya memastikan bayaran penyelenggaraan Blok 3 Kampung Lindungan dijelaskan bagi memudahkan kerja baik pulih dan penyelenggaraan jangka panjang.