SHAH ALAM, 26 JAN: Tujuh individu menerima manfaat sumbangan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13,000, hari ini.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan disalurkan merangkumi kategori pendidikan, bencana ribut serta sumbangan komputer riba kepada pelajar memerlukan.
“Zakat wakalah ini bermaksud apabila kita membayar zakat, 50 peratus daripada jumlah tersebut akan dipulangkan semula kepada kita untuk diagihkan kepada empat kategori iaitu asnaf, fakir miskin, gharimin dan fisabilillah.

“Selalunya pihak MBI akan membayar zakat sekitar RM2 juta kepada Lembaga Zakat Selangor dan pulangan 50 peratus akan disalurkan kembali kepada golongan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serahan Sumbangan Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Azri, dana bagi kategori pendidikan diagihkan menggunakan peruntukan zakat wakalah manakala bantuan bencana menggunakan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBI.
Bagi kategori pendidikan, penerima yang menerima bantuan ialah Qistina Wafiyyah Shahrul Nizam, Zulfakhri Zulkifli, Zarif Zakwan Syahril Amrin dan Nurul Hafizzah Mohd Kamil.
Sementara itu, penerima kategori bencana ribut ialah A Rosegreazeey dan Norsariyah Mohamed Jamil manakala Nur Syafiqah Mohd Sharif menerima komputer riba bagi kegunaan pengajian.



