SHAH ALAM, 26 JAN: Seramai 56 keluarga Komuniti Orang Asli Bukit Baja (KOABB) di Dengkil menerima penempatan semula berstruktur dalam kawasan pembangunan PKNS Cyber Valley, termasuk pampasan serta saguhati berjumlah ratusan ribu ringgit bagi setiap keluarga.
Sumbangan itu disampaikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam majlis penyerahan cek di Galeri PKNS Cyber Valley semalam, sekali gus menandakan permulaan rasmi projek berkenaan.
Majlis tersebut susulan pengumuman Dato Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 9 Julai 2024, yang menyatakan tanah seluas 180 ekar (72.8 hektar) milik Kerajaan Negeri telah diwartakan sebagai kawasan Perkampungan Orang Asli Bukit Baja.
Penyerahan cek disempurnakan EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah diiringi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS (Usaha Sama Strategik), Ir Md Kamarzan Md Rais.
PKNS memaklumkan pihaknya kini dalam perancangan melaksanakan pembangunan penempatan semula di atas tanah seluas 8.87 ekar bagi 56 keluarga KOABB yang kini menghuni dalam kawasan pembangunan PKNS Cyber Valley.
Cadangan pembangunan tersebut dibahagikan kepada dua zon iaitu 6.27 ekar bagi pembinaan 56 unit rumah sesebuah satu tingkat berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 2.6 ekar lagi bagi pembangunan kemudahan sokongan komuniti.
"Kemudahan berkenaan merangkumi balai raya, tadika, ruang rawatan, pejabat Tok Batin dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK), surau serta tiga unit lot kedai," menurut kenyataan agensi itu.
Pada 5 Oktober tahun lalu, PKNS telah mengadakan sesi libat urus bersama komuniti KOABB bagi penyerahan surat tawaran penempatan semula.
Tawaran yang dikemukakan merangkumi pembinaan sebuah rumah sesebuah satu tingkat, RM7,000 bagi kos pemindahan dan perobohan rumah sedia ada, saguhati berjumlah RM100,000, pampasan sehingga RM200,000 bagi setiap satu ekar tanaman semasa, serta sumbangan tabung komuniti KOABB berjumlah RM3 juta.
PKNS memaklumkan komitmen untuk memastikan proses penempatan semula komuniti Orang Asli Bukit Baja dilaksanakan secara teratur dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor serta pihak berkaitan.
"Pelaksanaan projek ini mencerminkan peranan PKNS sebagai pemangkin pembangunan inklusif yang mengambil kira kepentingan komuniti asal dalam
kawasan pembangunan baharu seperti Cyber Valley," menurut PKNS.




