SHAH ALAM, 20 OKT: Seorang bapa tidak menyangka anak perempuannya yang dihantar ke sekolah seperti biasa, semalam, pergi buat selama-lamanya selepas dipercayai mengalami sesak nafas akibat saluran pernafasan tersumbat.
Bapa mangsa berkata beliau bergegas ke sekolah selepas dimaklumkan anaknya mengalami masalah pernafasan.
Beliau berkata, sebaik tiba di sekolah, anaknya ditemui terbaring di koridor tingkat dua dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, beliau cuba memberikan bantuan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun anaknya tidak memberikan sebarang tindak balas.
"Lebih kurang 15 minit kemudian, ambulans tiba. Ketika itu, keadaan anak saya sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Dengkil di sini hari ini, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian semalam, mangsa diberikan bantuan awal pernafasan sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
Bedah siasat dilakukan di Hospital Putrajaya pada jam 8 pagi tadi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).







