Jururawat suap pesakit berbeza agama terima pengiktirafan Menteri Kesihatan

25 Jan 2026, 4:24 AM
Jururawat suap pesakit berbeza agama terima pengiktirafan Menteri Kesihatan

SHAH ALAM, 25 JAN: Keikhlasan seorang jururawat menyuapkan makanan kepada pesakit warga emas berbangsa India yang tular baru-baru ini membuktikan bahawa nilai ihsan dan kemanusiaan mengatasi perbezaan agama dan kepercayaan.

Jururawat berkenaan, Nur Deena Nadzhiefa, menerima pengiktirafan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ketika kunjungannya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sempena majlis perasmian bangunan baharu hospital itu, semalam.

Video tular sepanjang 41 saat itu menunjukkan Nur Deena menyuap makanan menggunakan tangan kepada pesakit, meruntun hati ramai warganet yang memuji keikhlasan dan empatinya dalam mengurus pesakit tanpa mengira agama.

Dr Dzulkefly berkata, momen tersebut benar-benar menyentuh perasaannya sehingga mendorong beliau bertemu sendiri jururawat itu.

“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang Deena tunjukkan,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan, sikap Nur Deena membuktikan bahawa proses penyembuhan di hospital bukan sahaja bergantung kepada ubat atau suntikan, tetapi juga layanan penuh empati dan kasih sayang.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Deena kerana menghidupkan semangat ‘Malaysia’ dalam tugas seharian. Nilai-nilai murni ini diharapkan menjadi inspirasi dan contoh kepada seluruh warga kesihatan,” tambah beliau.

Rakaman tular itu telah mendapat perhatian luas warganet yang memuji ketulusan Nur Deena, sekali gus menegaskan bahawa layanan berasaskan kemanusiaan menjadi nadi dalam penjagaan pesakit.