SHAH ALAM, 24 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menutup tujuh premis warga asing serta mengeluarkan 15 kompaun dan lima notis atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di sekitar Alam Suria dan Puncak Bestari, Puncak Alam.
Menurut MPKS, operasi bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu melibatkan 51 anggota daripada Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dan Unit Korporat MPKS.
"Agensi lain yang terlibat adalah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Selangor.
Sepanjang operasi, 10 premis diperiksa termasuk pusat cuci kenderaan, kedai runcit dan kedai aksesori kenderaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati tujuh premis beroperasi manakala tiga premis lain tidak beroperasi," menurut kenyataan di Facebook.
MPKS memaklumkan, tindakan penguatkuasaan turut merangkumi sitaan peralatan perniagaan di empat premis dan pengeluaran notis berkaitan lesen perniagaan, iklan tanpa lesen, kebersihan premis serta halangan tempat awam.
Dalam operasi sama, JIM Selangor menahan 11 warga asing lelaki atas pelbagai kesalahan imigresen di beberapa lokasi pemeriksaan.




