Ops premis warga asing: MPKS keluar 28 kompaun, 15 pekerja ditahan

9 Apr 2026, 11:00 AM
Ops premis warga asing: MPKS keluar 28 kompaun, 15 pekerja ditahan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan 28 kompaun menerusi operasi bersepadu premis warga asing sekitar Kuala Selangor termasuk Jeram dan Sungai Buloh pada Selasa lalu.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan seramai 15 pekerja warga asing turut ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

“Sebanyak 13 premis diperiksa dalam operasi ini merangkumi premis cuci kenderaan, kedai runcit serta premis perkhidmatan lain. Hasil pemeriksaan mendapati sembilan premis beroperasi manakala empat premis tidak beroperasi ketika pemantauan dijalankan. 

“Pelbagai tindakan penguatkuasaan diambil termasuk pengeluaran kompaun, notis memberhentikan perniagaan, penutupan premis serta sitaan peralatan perniagaan bagi kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan 28 kompaun dan menahan 15 pekerja asing menerusi operasi bersepadu premis warga asing sekitar Kuala Selangor pada 7 April 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor

MPKS berkata antara kesalahan yang dikenakan kompaun termasuklah menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK 3, langgar syarat lesen tidak menyediakan pekerja warga tempatan di bawah UUK 4(4)(c).

Kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menjaga kebersihan premis di bawah UUK 17, menyebabkan atau membuang apa-apa benda ke dalam longkang di bawah UUK 21(1)(a), serta meninggalkan barang di belakang premis di bawah UUK 21(1)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007. 

"Dalam operasi ini, tindakan sitaan dilaksanakan melibatkan pelbagai peralatan perniagaan seperti mesin vakum, mesin water jet, tong snow wash, pam water jet, pemampat udara, pemampat udara sabun serta mesin jahit pakaian yang digunakan di premis terlibat,” katanya.

Operasi ini turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Selangor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Selangor, dengan kekuatan 56 anggota.

“MPKS akan terus mempergiatkan operasi bersepadu secara berkala bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan peniaga serta menjaga kesejahteraan komuniti setempat. 

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar bagi memastikan persekitaran perniagaan yang teratur, bersih dan selamat di daerah Kuala Selangor,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.