MPHS terima ‘Pinnacle Award’, cemerlang dalam inovasi Sistem Maklumat Geografi

24 Jan 2026, 3:59 AM
MPHS terima ‘Pinnacle Award’,  cemerlang dalam inovasi Sistem Maklumat Geografi
MPHS terima ‘Pinnacle Award’,  cemerlang dalam inovasi Sistem Maklumat Geografi

SHAH ALAM, 24 JAN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerima pengiktirafan ‘Pinnacle Award’ sempena penganjuran Esri Malaysia GeoInnovation Award 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Majlis berprestij anjuran Esri Malaysia itu menghimpunkan pemimpin sektor awam dan swasta bagi mengiktiraf organisasi yang cemerlang dalam penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS).

Menurut MPHS, penggunaan teknologi GIS memainkan peranan penting dalam meningkatkan tadbir urus, perancangan bandar, serta penyampaian perkhidmatan awam dan swasta.

“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada MPHS untuk terus memanfaatkan teknologi GIS bagi menyokong agenda pembangunan mampan, perancangan bandar lestari serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada komuniti setempat,” kata kenyataan MPHS.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan Esri South Asia, Leslie Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, CS Tan, manakala MPHS diwakili Penolong Setiausaha, Shaiful Rizza Paiamin untuk menerima pengiktirafan tersebut.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPHS, TPr Gs Azlina Mokhtar, Ketua Bahagian Teknologi Maklumat, Mohamad Ramdan Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat, Nurulhuda Ahmad Khairuddin, serta pasukan penyelaras GIS MPHS.

Dalam majlis sama, MPHS turut dijemput berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang teknologi serta inovasi GIS. Pembentangan disampaikan oleh TPr Gs Azlina Mokhtar yang mengetengahkan amalan terbaik MPHS dalam pelaksanaan sistem EIS bagi menyokong perancangan bandar, pengurusan perbandaran, serta pembuatan keputusan berasaskan data spatial.