SHAH ALAM, 23 JAN: Selangor bakal menghasilkan cip tempatan pertama menerusi pembangunan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dengan kerjasama syarikat semikonduktor terkemuka, Arm Holdings Plc (ARM).
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata inisiatif tersebut selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh industri semikonduktor dan menjadikan Selangor hab reka bentuk cip utama negara.
“Pembinaan taman reka bentuk telah berjaya menarik beberapa syarikat semikonduktor dan kini sedang menjalankan reka bentuk bagi cip tempatan pertama menggunakan teknologi ARM.
"Cip ini akan digunakan secara meluas antaranya dalam bidang automotif, aeroangkasa dan pusat data,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, syarikat semikonduktor terlibat kini dalam peringkat awal proses reka bentuk dan penghasilan cip, dengan sasaran pelancaran menjelang 2028.
“Selain itu, cip ini juga akan diuji di taman reka bentuk di Cyberjaya yang lengkap dengan fasiliti pusat ujian.
"Kerajaan Negeri mahu penghasilan cip yang direka mengikut keperluan pasaran semasa,” jelasnya.
Sze Han berkata taman reka bentuk IC di Cyberjaya dilengkapi pusat ujian cip, berbeza dengan kemudahan di Puchong yang hanya menumpukan kepada Automasi Reka Bentuk Elektronik (EDA).

“EDA ini merupakan pengisian penting dalam reka bentuk IC dan di Puchong memang mempunyai lesen bagi penggunaan pengisian ini.
"Bagaimanapun, kita tambah baik taman reka bentuk di Cyberjaya dengan mempunyai sebuah pusat ujian cip selepas ia dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata pembangunan dua taman reka bentuk IC ini turut membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak muda tempatan, khususnya dalam bidang kejuruteraan.
“Kita mahu beri pekerjaan berimpak tinggi dan sebab itu perlu menyediakan ruang serta peluang kerja yang terbaik kepada anak-anak muda.
"Setakat ini, bagi taman reka bentuk di Puchong hampir 95 peratus daripada 200 jurutera merupakan (anak) tempatan. Di Cyberjaya juga, kita yakin lebih 200 jurutera akan terlibat,” katanya.

Pada November 2025, taman reka bentuk IC kedua di CoPlace 9, Cyberjaya dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Amirudin sebelum ini menyifatkan inisiatif tersebut sebagai pencapaian besar dalam usaha menjadikan Selangor hab semikonduktor negara serta pemain penting dalam ekosistem reka bentuk cip global.
Pelancaran taman kedua itu juga dibuat selepas pertambahan minat syarikat semikonduktor antarabangsa untuk beroperasi di Selangor, namun kekangan ruang di fasiliti sedia ada memerlukan pengembangan baharu.




