PUCHONG, 2 SEPT: Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia mahu berkembang sebagai pusat yang bukan sekadar menyediakan ruang kerja, malah membina komuniti jurutera dan mengukuhkan hubungan antara pemain industri.
Pengarah Teknikal Bahagian Semikonduktor dan Venture, Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC), Lee Hing Wah berkata taman itu diwujudkan bagi memberi ruang kepada jurutera membina kerjaya, menambah pengalaman dan berkembang bersama industri.
“Kami melihat projek ini sebagai sebuah ekosistem hidup, bukan hanya tempat bekerja tetapi komuniti yang membolehkan jurutera membina persahabatan, mengembangkan kerjaya dan merancang masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program ‘Supply Chain Day Series 1: Exclusive Showcase from MaiStorage’ di Four Points by Sheraton di sini, hari ini.
Menurut Hing Wah, pendekatan itu penting bagi menarik dan mengekalkan bakat kejuruteraan, selain menyokong perkembangan industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor negara.
Beliau berkata Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia kini sudah mencapai kapasiti penuh dengan 18 syarikat menyertai ekosistem berkenaan, manakala beberapa lagi dijangka mula beroperasi.
Katanya, taman itu turut disokong dana pelaburan khusus semikonduktor bagi membantu syarikat mengembangkan operasi dan perniagaan.
“Ketika ini, lebih 400 jurutera bekerja di taman ini dan jumlah itu bergerak ke arah sasaran 520 graduan atau pekerja pada 2026,” katanya.
Hing Wah berkata perkembangan syarikat yang beroperasi di taman itu menunjukkan hasil sebenar apabila sebahagiannya sudah mendapat kontrak dan terlibat dalam projek komersial.
“Ini bukan sekadar syarikat yang kita mahu jadikan contoh pada masa depan. Mereka sudah mempunyai kontrak dan sedang menyumbang kepada industri sekarang,” katanya.
Dalam aspek pembangunan bakat, beliau berkata tenaga kerja berkemahiran masih menjadi antara keperluan utama industri semikonduktor.
Menurutnya, cabang pembangunan bakat taman itu setakat ini sudah melatih lebih 5,800 jurutera.
“Kami menerima sokongan kuat daripada rakan industri bagi memastikan program latihan benar-benar mengikut keperluan teknologi dan dunia pekerjaan,” katanya.
Hing Wah berkata taman itu kini memasuki fasa seterusnya yang melibatkan bidang robotik, mobiliti pintar, robot humanoid, automotif dan aeroangkasa menerusi kerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) serta Cyberview.
Menurutnya, usaha itu bertujuan menghubungkan kepakaran semikonduktor dengan sektor teknologi baharu yang semakin berkembang.
Beliau turut menggalakkan syarikat dan pemain industri menggunakan platform berkenaan untuk membina kerjasama serta mengenali dengan lebih dekat teknologi dan produk yang dibangunkan syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan.
“Saya berharap lebih banyak kerjasama dapat dibentuk supaya kita dapat bersama-sama mengangkat industri semikonduktor AI Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.






