Fadhlina: Tiada kompromi keselamatan murid, kes cedera disiasat

22 Jan 2026, 3:15 PM
Fadhlina: Tiada kompromi keselamatan murid, kes cedera disiasat

SHAH ALAM, 22 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius kejadian tular melibatkan kecederaan seorang murid di sebuah sekolah rendah di Selangor dan menegaskan tiada kompromi dalam aspek keselamatan warga sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata kejadian tersebut kini berada dalam siasatan pihak polis, manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor turut menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.

"Saya mengambil perhatian penuh kejadian tular kecederaan murid di sebuah sekolah rendah di negeri Selangor baru-baru ini.

"Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak polis. Pada masa sama, JPN Selangor turut sedang melaksanakan siasatan dalaman. Tiada kompromi dalam isu keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri untuk memastikan aspek keselamatan di sekolah sentiasa terpelihara dan dipatuhi sepenuhnya.

Sebelum ini tular di media sosial seorang bapa mendakwa anaknya merupakan murid darjah satu ditampar pada bahagian muka oleh seorang rakan sekelas kerana berjalan terlalu perlahan ke tandas.

Bapa murid berkenaan memaklumkan, anaknya mengalami kecederaan yang serius pada bahagian muka.