KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan lima fokus utama di bawah kerangka Sekolah Selamat sebagai sebahagian pelaksanaan reformasi segera bagi memperkukuh keselamatan serta kesejahteraan murid di seluruh negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata lima fokus tersebut meliputi kesihatan mental; pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial; pencegahan bahan terlarang; dasar perlindungan kanak-kanak; serta sistem sokongan kesejahteraan guru dan suara murid.
“Semua program pengukuhan kesihatan mental akan dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan rakan strategik bagi memastikan ekosistem sokongan kaunseling dan bimbingan di sekolah diperkasa,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial akan dilaksana secara berfokus dengan mengambil kira panduan agama, nilai serta budaya tempatan bagi menangani isu keganasan seksual terhadap kanak-kanak.
Langkah itu, jelasnya, bertujuan membekalkan murid dengan maklumat dan kemahiran sewajarnya agar mereka mampu membuat keputusan tepat dalam kehidupan seharian.
Dalam aspek pencegahan bahan terlarang, Fadhlina menegaskan larangan keras terhadap sebarang bahan berbahaya dibawa ke sekolah, dengan pemeriksaan berkala dan mengejut akan dilaksana bersama agensi kerajaan, pihak pentadbir sekolah dan guru disiplin.
Pelaksanaan dasar perlindungan kanak-kanak pula akan melibatkan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah.
“Kesedaran dan akauntabiliti dalam melindungi keselamatan murid adalah tanggungjawab bersama,” tegasnya.
Pada masa sama, KPM turut memberi perhatian terhadap kebajikan guru menerusi sistem sokongan psikososial di bawah inisiatif sistem sokongan kesejahteraan guru, manakala suara murid akan dijadikan elemen penting dalam membentuk ekosistem sekolah selamat.
“Suara murid adalah suara nurani — cerminan perasaan, pengalaman dan harapan mereka. Pandangan dan hasrat murid mesti didengar kerana itulah asas kepada sekolah yang benar-benar selamat dan inklusif,” katanya.
Fadhlina menegaskan kerangka baharu itu menekankan pendekatan holistik merentasi kerjasama sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
“KPM berhasrat mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, inklusif dan sejahtera untuk semua warga sekolah. Seperti pepatah, ‘It takes a village to raise a child’, kejayaan reformasi ini memerlukan dukungan seluruh masyarakat,” ujarnya.




