650 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina DUN Banting

23 Jan 2026, 2:00 AM
650 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina DUN Banting

SHAH ALAM, 23 JAN: Sebanyak 650 baucar Program Jom Shopping Perayaan Tahun Baharu Cina akan diagihkan kepada penerima layak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting sempena sambutan perayaan itu.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu, berkata pengagihan baucar dijadualkan bermula bulan hadapan untuk penerima yang telah dikenal pasti.

“Berdasarkan purata penggunaan tahun lalu, program di DUN Banting mendapat sambutan baik dengan 647 penerima manfaat direkodkan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting berkata, bagi pelaksanaan Program Jom Shopping Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di peringkat negeri, seramai 26,000 penerima manfaat disasarkan dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.2 juta.

“Jumlah ini turut termasuk kuota tambahan exco sebanyak 1,000 baucar untuk DUN tertentu, tertakluk kepada kelayakan permohonan,” katanya.

Papparaidu menjelaskan inisiatif tahunan ini, yang dijalankan sejak 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan, bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menyambut perayaan utama.

“Program ini diwujudkan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah merancang persiapan perayaan dengan lebih mudah dan selesa,” katanya.

Menurut beliau, Program Jom Shopping Perayaan tahun ini mencatat peningkatan peruntukan RM2 juta berbanding tahun lalu. Selaras dengan Ucapan Belanjawan Negeri Selangor 2026, jumlah keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM18.48 juta, dengan sasaran 94,200 penerima manfaat merangkumi sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Selain Tahun Baharu Cina, program di bawah inisiatif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) juga dilaksanakan untuk membantu keluarga kurang mampu menyambut Aidilfitri dan Deepavali.