RS-2 kekalkan kerjasama kerajaan-swasta, pacu pembangunan negeri

22 Jan 2026, 7:04 AM
RS-2 kekalkan kerjasama kerajaan-swasta, pacu pembangunan negeri
RS-2 kekalkan kerjasama kerajaan-swasta, pacu pembangunan negeri
RS-2 kekalkan kerjasama kerajaan-swasta, pacu pembangunan negeri
RS-2 kekalkan kerjasama kerajaan-swasta, pacu pembangunan negeri

SHAH ALAM, 22 JAN: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bermula tahun ini mengekalkan kesinambungan kerjasama kerajaan-swasta (PPP) bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar, berimpak tinggi, mampan dan inklusif, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan strategik dalam rancangan pembangunan lima tahun itu penting bagi memastikan pembiayaan berdaya tahan serta pengukuhan tadbir urus di semua peringkat.

“Kerjasama strategik ini mampu mempercepatkan pelaksanaan projek, mengoptimumkan pelaburan dan seterusnya memperkukuh daya saing Selangor sebagai negeri maju dan berdaya tahan.

"Ini juga akan memberi pulangan manfaat kepada seluruh rakyat Selangor,” katanya menerusi Facebook selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat perbankan itu.

Menurut beliau, pertemuan itu menjadi platform perbincangan strategik mengenai usaha mempercepat agenda pembangunan negeri.

“Selain bertukar pandangan, pertemuan ini turut menumpukan peranan yang boleh dimainkan oleh kumpulan perbankan seperti CIMB dalam pembiayaan projek strategik kerajaan,” jelas Amirudin.

RS-2 yang akan dibentang berasaskan data sedia ada dijangka diumumkan Jun ini, bagi memastikan hala tuju pembangunan negeri berada di landasan tepat.

Beberapa penambahbaikan dirancang, antaranya melibatkan sektor pendidikan melalui peningkatan dana baucar buku Kita Selangor dan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang diberikan secara percuma kepada komuniti.

Selain itu, RS-2 turut menumpukan kepada program MyLesen B2, dengan cadangan pemberian subsidi antara RM500 hingga RM1,000 bagi membantu peserta memiliki motosikal, seterusnya memperluas peluang pekerjaan dan mobiliti rakyat.