SHAH ALAM, 22 JAN: Lebih 2,000 anak yatim dari lima daerah bakal diraikan dalam Majlis Sumbangan Hari Raya 2026 bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Agensi itu memaklumkan program dijadual berlangsung sepanjang Ramadan ini melibatkan anak yatim dari daerah Sabak Bernam, Kuala Langat, Klang, Petaling dan Hulu Selangor.
“Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan YIDE dalam menyantuni kebajikan anak-anak yatim agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan, kasih sayang dan makna,” kata dalam hantaran di Facebook.
Menurut YIDE, perancangan program tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk yang diadakan kelmarin.
“Mesyuarat berkenaan menghimpunkan wakil agensi, jabatan kerajaan, institusi masjid serta rumah-rumah kebajikan anak yatim sebagai platform penyelarasan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan penganjuran program,” katanya.
YIDE sebelum ini memaklumkan, sebanyak 31 rumah kebajikan menempatkan 12,380 anak yatim berdaftar dengan yayasan itu disantuni dengan pelbagai bantuan yang menjamin masa depan.
Menurutnya, antara sokongan diberi termasuk bantuan pengurusan, program pembangunan sahsiah dan akademik anak yatim serta jaringan sokongan komuniti yang kukuh.

Selain itu, Pengurus Korporat YIDE Mohd Akmal Hafsyam Ghazali sebelum ini memaklumkan pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim yayasan itu di Pulau Indah, Klang berada di fasa akhir dan dijadual siap pada akhir bulan ini.
Katanya, kompleks asrama di atas tanah wakaf seluas 3.47 ekar itu dibina hasil 100 peratus sumbangan orang ramai dengan kos berjumlah RM17 juta dan bakal memulakan pengambilan dan saringan pelajar baharu bermula pertengahan tahun ini.





