MBSJ lancar Sandbox Mikromobiliti SS15, skuter elektrik jadi alternatif hijau

22 Jan 2026, 3:00 AM
MBSJ lancar Sandbox Mikromobiliti SS15, skuter elektrik jadi alternatif hijau

SHAH ALAM, 22 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan Sandbox Mikromobiliti di Kawasan Komersil SS15 sebagai projek perintis untuk menilai keberkesanan penggunaan kenderaan mikromobiliti di kawasan bandar.

MBSJ memaklumkan inisiatif ini juga bertujuan menilai tahap keselamatan serta keperluan kawal selia bagi kenderaan mikromobiliti.

"Sebanyak 45 unit skuter mikromobiliti telah ditempatkan di tiga lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan pengguna serta menyokong mobiliti bandar yang mampan," menurut kenyataan di Facebook.

Tiga lokasi terlibat ialah Stesen LRT SS15, hadapan Q Bistro, Jalan SS15/4G dan Asia University, Jalan SS15/4, Subang Jaya.

MBSJ menyatakan inisiatif ini mencerminkan komitmen mereka memperkukuh sistem pengangkutan bandar yang selamat, rendah karbon dan mampan, selaras aspirasi bandar pintar.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan Sandbox Mikromobiliti di Kawasan Komersil SS15. Foto Facebook MBSJ

Wakil rakyat kawasan itu, Michelle Ng Mei Sze, menerusi Facebook berkata pelaksanaan Sandbox Mikromobiliti penting bagi menangani isu ruang parkir terhad dan kesesakan lalu lintas di SS15.

“Kawasan SS15 masih berdepan masalah parkir walaupun telah dibina sistem parkir bertingkat. Masalah ini menjejaskan pergerakan harian, jadi penting untuk menyediakan mod pengangkutan alternatif,” katanya.

Beliau menambah, sepanjang dua tahun lalu, pihaknya bersama MBSJ dan Kementerian Pengangkutan giat berusaha merealisasikan inisiatif ini.

"Inisiatif ini memperkenalkan skuter elektrik sebagai mod pengangkutan alternatif jarak sederhana, yang membolehkan pergerakan melebihi sekadar berjalan kaki," jelasnya.

Menurut Michelle, di SS15 orang ramai boleh menggunakan LRT, BRT, pengangkutan responsif permintaan, atau berjalan kaki. Skuter elektrik pula akan menjadi laluan alternatif tambahan, selari dengan laluan basikal yang diperkenalkan.

Fasa pertama projek laluan basikal menghubungkan SS16 dan SS15, diikuti fasa kedua yang meningkatkan keselamatan dan melanjutkan laluan ke SS14 serta SS18. Fasa ketiga pula merangkumi laluan dari SS19 hingga SS12.

“Apabila keseluruhan infrastruktur ini siap, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menyediakan lebih banyak mod pengangkutan hijau yang mesra rakyat,” katanya.