Tadika swasta tular: Polis siasat video, tiada laporan rasmi

21 Jan 2026, 3:36 PM
Tadika swasta tular: Polis siasat video, tiada laporan rasmi

SHAH ALAM, 21 JAN: Polis belum menerima sebarang laporan berhubung video tular yang memaparkan keadaan sebuah tadika swasta serta dakwaan tindakan penjaga terhadap kanak-kanak di pusat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata terdapat empat video berkaitan isu itu yang kini tular di media sosial, lapor Berita Harian.

“Setakat ini, polis masih belum menerima laporan rasmi dan siasatan terperinci sedang dijalankan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071,” katanya.

Terdahulu, penyanyi rap dan pempengaruh media sosial, Caprice, berkongsi beberapa video memaparkan keadaan cawangan tadika berkenaan di Shah Alam yang didakwa kotor dan bersepah.

Video itu juga menunjukkan seorang kanak-kanak autisme yang didakwa dibogelkan dan dikurung di dalam stor.