SHAH ALAM, 6 SEPT: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dikasari pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Mentakab selepas rakaman kejadian tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata pihaknya mengesan satu hantaran berkaitan kejadian itu di media sosial semalam, lapor Berita Harian.
Menurutnya, polis kemudian menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 29 tahun kira-kira jam 6 petang.
“Ibu mangsa memaklumkan anak perempuannya yang berusia dua tahun dihantar ke pusat asuhan berkenaan.
“Pengadu mendakwa anaknya menerima layanan kasar daripada pengasuh di taska itu,” katanya.
Mohd Nasyim berkata kertas siasatan dibuka bagi mengenal pasti kejadian sebenar dan menentukan tindakan lanjut terhadap pihak terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau didenda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.







