SHAH ALAM, 21 JAN: Rata-rata ibu bapa menyokong pengumuman kemasukan kanak-kanak ke darjah satu pada usia enam tahun, selari dengan pendedahan awal pendidikan prasekolah yang kini bermula seawal usia tiga tahun.
Erwin Sobri, 44, berkata landskap pendidikan awal kanak-kanak kini jauh berbeza berbanding dulu, dengan kebanyakan ibu bapa menghantar anak ke prasekolah pada usia lebih awal.

"Inisiatif ini bagi saya sangat bagus sebab sekarang pun dah ramai ibu bapa hantar anak mereka ke taska seawal usia tiga, empat tahun. Jadi, tidak ada masalah sebab mereka dah lama mula bersekolah berbanding zaman dulu.
"Saya berpandangan sebegitu sebab anak saya pun saya hantar pra sekolah seawal usia empat tahun dan tahun ini dia dah darjah satu, dari segi keberanian dan keyakinan dia pun dah nampak baik," katanya kepada Media Selangor.
Beliau yakin langkah itu mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan pendidikan negara, selain mengurangkan kebergantungan ibu bapa kepada tadika berbayar.

Pandangan sama turut dikongsi Muhammad Aiman Farhan Murza, 36, yang melihat cadangan itu sebagai perkembangan positif, sejajar dengan tahap kematangan kanak-kanak masa kini.
"Dengan pendedahan awal di prasekolah, kanak-kanak berusia enam tahun kini lebih matang berbanding dahulu. Namun, pelaksanaannya perlu dirancang dengan teliti supaya pembelajaran kekal seronok dan tidak membebankan.
"Mungkin pembelajaran boleh digabungkan dengan aktiviti menarik seperti permainan agar tidak menjejaskan emosi kanak-kanak. Saya juga berpendapat pelaksanaan ini perlu dilakukan secara berperingkat," katanya.
Beliau turut menekankan keperluan silibus yang sesuai dengan usia serta pendekatan pembelajaran berasaskan aktiviti bagi memastikan kesejahteraan emosi murid terus terpelihara.

Sementara itu, Nuratira Diana Mohd Anuar, 34, berkata pengalamannya menghantar anak ke tadika sejak usia empat tahun meyakinkannya bahawa kanak-kanak kini mampu menyesuaikan diri lebih awal di sekolah rendah.
“Anak saya menjadi lebih berdikari dan berani sejak memasuki tadika seawal empat tahun. Jadi, saya yakin kanak-kanak hari ini sudah bersedia untuk masuk darjah satu pada usia enam tahun.
“Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan prasarana sekolah mencukupi supaya persekitaran pembelajaran kekal kondusif dan tidak terlalu sesak,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa mulai tahun hadapan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, manakala kemasukan ke darjah satu dibuka kepada kanak-kanak berumur enam tahun.
Pengumuman tersebut dibuat semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, namun penyesuaian itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa.


