Warga emas mengamuk di kedai makan didenda RM7,000

21 Jan 2026, 8:21 AM
Warga emas mengamuk di kedai makan didenda RM7,000

SHAH ALAM, 21 JAN: Seorang lelaki warga emas yang tular di media sosial selepas mengamuk di beberapa premis sekitar Pauh, Arau dan Kuala Perlis minggu lalu didenda keseluruhan RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.

Tertuduh, Heng Ah Joo, 60, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal, lapor Berita Harian.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 35 tahun dengan menggunakan kaki besi sebagai senjata di Taman Pauh Indah I, Arau, pada jam 5.24 petang, 13 Januari lalu.

Pertuduhan kedua pula membabitkan kesalahan khianat apabila tertuduh merosakkan sebuah komputer jenama Samsung dan almari kaca milik seorang lelaki berusia 65 tahun, menyebabkan kerugian dianggarkan RM3,000, di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 44 tahun dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah kedai makan di Jalan Panggung Wayang, Kuala Perlis, pada jam 3.45 petang, pada hari yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara 10 bulan bagi setiap pertuduhan pertama dan ketiga.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM2,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor S Mageswaran manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Mohd Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Mahkamah mengambil kira rayuan pembelaan sebelum menjatuhkan hukuman, dan tertuduh kemudian membayar semua denda berkenaan yang diwakili ahli keluarganya.