SHAH ALAM, 21 JAN: Isu Lemon Law berkaitan tuntutan tebus rugi pengguna antara lima tumpuan utama agenda reformasi undang-undang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkaitan perlindungan pengguna disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penggubalan peruntukan berkaitan Lemon Law bertujuan memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian dan tuntutan tebus rugi yang lebih terperinci, khususnya membabitkan pembelian kenderaan baharu, lapor Berita Harian.
"Sebenarnya kita sudah ada undang-undang sedia ada bukannya tidak ada langsung tetapi ada kelompangan yang perlu kita tangani.
"Isu ini penting tetapi untuk memastikan pendekatan terbaik termasuklah penerimaan daripada industri serta melihat amalan terbaik oleh beberapa negara yang memiliki akta berkaitan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2026 KPDN di Putrajaya, hari ini.
Selain Lemon Law, Armizan berkata, KPDN turut menyasarkan pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkasa penyiasatan serta penguatkuasaan terhadap kartel dan monopoli bermasalah yang menjejaskan pengguna.
"Kedua-dua akta ini dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama pada hujung persidangan Parlimen kali ini," katanya.


