Akademi Literasi al-Quran Selangor diperluas ke setiap daerah - MB

21 Jan 2026, 4:27 AM
Akademi Literasi al-Quran Selangor diperluas ke setiap daerah - MB
Akademi Literasi al-Quran Selangor diperluas ke setiap daerah - MB
Akademi Literasi al-Quran Selangor diperluas ke setiap daerah - MB

SHAH ALAM, 21 JAN: Kerajaan Negeri akan memperkemas dan memperluas pelaksanaan Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) ke setiap daerah bagi memperkukuh kefahaman serta penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan memastikan pendidikan al-Quran dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh tanpa tertumpu kepada lokasi atau peringkat tertentu.

“Al-Quran bukan sekadar dibaca, sebaliknya perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai asas pembentukan masyarakat MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1447H/2026M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini malam tadi.

Menurut beliau, peluasan ALAS turut merangkumi pelaksanaan program peringkat lanjutan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir dalam bacaan, malah memahami kandungan al-Quran serta berupaya menyampaikannya kepada masyarakat.

Usaha itu, katanya, dijangka mewujudkan persaingan sihat di peringkat daerah sekali gus melahirkan qari dan qariah berkualiti untuk mewakili negeri dan negara.

Beliau berkata pembangunan pendidikan al-Quran merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri menjadikan pembangunan Islam sebagai teras pentadbiran Selangor.

Pendekatan tersebut selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan ekonomi dengan pengukuhan nilai kerohanian, akhlak serta kemanusiaan.

Pada 16 Ogos 2025, Amirudin berkata ALAS menerima peruntukan RM1 juta bagi memperkasa usaha melahirkan masyarakat Islam yang celik dan mahir al-Quran.

Beliau berkata usaha itu merangkumi pembangunan modul pembelajaran dan memperluas capaian pendidikan al-Quran di lima daerah terpilih iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam, Batang Kali, Sepang dan Gombak

ALAS ditubuhkan JAIS Pada 9 Oktober 2022. Akademi itu dilancarkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1444H/2022M.

Seramai 60 pensyarah dilantik bagi memperkasa pembacaan al-Quran berpandukan riwayat Hafs ‘An ‘Asim melalui Toriq Syatibiyyah.