SHAH ALAM, 12 SEPT: Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) menjadi pilihan sepasang suami isteri untuk mendalami ilmu al-Quran selepas tertarik dengan sistem pembelajaran yang lebih tersusun dan berperingkat.
Latifah Mohd Amran, 56, berkata pengajian bersijil di ALAS membuka perspektif baharu mengenai penguasaan al-Quran, khususnya ilmu tajwid, apabila pelajar bukan sekadar belajar secara umum tetapi perlu menguasai teori dan praktikal.
Beliau yang pernah mengikuti kelas lain bersama suaminya, Nor Asmadee Isa, 61, mendapati sukatan pelajaran ALAS lebih mencabar dan mendorong pelajar untuk terus memperbaiki penguasaan.
“Memang banyak tambah ilmu sebab selama ini kami belajar secara umum. Bila secara umum kita faham macam itu saja. Boleh baca, tahulah tajwid. Tapi tidak mendalam.
“Tapi bila pengajian bersijil ini, kita rasa kita belajar mendalam, betul-betul. Silibus di sini memang tinggi, ada teori dan praktikal sekali,” katanya kepada Media Selangor.
Mula mendalami ilmu al-Quran di ALAS sejak 2023, Latifah berkata, sistem pembelajaran berperingkat turut menjadi faktor mereka terus mengikuti pengajian, selain berpeluang belajar dengan guru berbeza.
Selain itu, katanya, pelajar turut dididik supaya mampu berkongsi ilmu dengan orang lain dan bukan untuk kegunaan sendiri sahaja.
“Akademi ini saya rasa, saya nampak matlamat dia, ustaz, awal belajar bukan untuk awak saja, awak belajar untuk ajar orang lain juga. Dia memang persiapkan kita untuk itu sebenarnya. Tidak kiralah siapa yang awak ajar, cucu pun cukup. Asalkan ilmu itu disebarkan."
Latifah yang kini mengikuti pengajian tahun keempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjelaskan sistem peperiksaan dan penilaian yang ditetapkan turut menjadikan pelajar lebih bersungguh-sungguh untuk menguasai ilmu.
Ujar beliau lagi, ada pelajar yang sanggup mengulangi kelas sekiranya tidak lulus, kerana mahu terus belajar dan berpeluang mendapat pendekatan berbeza daripada tenaga pengajar lain.
“Bila bersijil, kita bersedia untuk peperiksan. Jadi awak bersungguh belajar. Semakin lama mengikuti pengajian, semakin saya menghargai ilmu yang diperoleh sehingga tidak lagi melihat peperiksaan semata-mata sebagai sasaran utama.
“Mula-mula masa kita orang belajar, macam kita usaha nak lulus, nak lulus, nak luluskan. Tapi bila saya masuk tahun ketiga, saya tidak rasa itu. Saya bukan nak lulus tetapi sebab saya mahu ilmu itu. Memang luas ilmu mereka (tenaga pengajar),” katanya.
Mengikuti kelas dua kali seminggu pada setiap Selasa dan Jumaat selama dua jam hingga 7 petang, beliau berharap program ALAS diperluas ke setiap daerah di Selangor, supaya lebih ramai masyarakat berpeluang mengikuti pengajian al-Quran ditawarkan.
Beliau menyifatkan peluang mengikuti pengajian berstruktur bersama tenaga pengajar berkelayakan sebagai sesuatu yang amat berbaloi.
“Yang dah masuk tak nak keluar. Sebab bila awak dah masuk seronok. Seronok sebab awak jadi lebih baik," katanya.
ALAS ditubuhkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan dilancarkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Maulidur Rasul pada 9 Oktober 2022.
Ia ditubuhkan untuk memberi penekanan serius ke arah melahirkan umat Islam berkemahiran membaca dan mengajar, berupaya mengamal serta mampu mempersenikan al-Quran berpandukan kepada Riwayat Hafs 'An 'Asim menurut Toriq Syatibiyyah.








