Pembangunan Bandar Pintar Selangor pelaburan strategik masa depan - MB

20 Jan 2026, 2:41 PM
Pembangunan Bandar Pintar Selangor pelaburan strategik masa depan - MB
Pembangunan Bandar Pintar Selangor pelaburan strategik masa depan - MB
Pembangunan Bandar Pintar Selangor pelaburan strategik masa depan - MB
Pembangunan Bandar Pintar Selangor pelaburan strategik masa depan - MB

SHAH ALAM, 20 JAN: Pembangunan Bandar Pintar Selangor disifatkan sebagai pelaburan strategik jangka panjang yang bakal menentukan keupayaan negeri dalam memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan daya saing ekonomi masa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi secara menyeluruh bagi mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam agar lebih pantas, telus dan berkesan, sejajar dengan keperluan semasa rakyat.

“Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kerajaan Selangor diperkukuhkan menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meluaskan capaian internet yang lebih stabil dan berkualiti di negeri ini.

“Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi atas penyaluran peruntukan RM450 juta bagi menyokong inisiatif ini, sekali gus memacu agenda pendigitalan dan pembangunan bandar pintar demi manfaat rakyat.

“Insya-Allah, pembangunan Bandar Pintar Selangor akan terus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju inovasi digital,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, majlis pertukaran MoU itu disaksikan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan di sebuah hotel di sini hari ini.

Keberangkatan Baginda turut diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil selain barisan kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan.

MoU tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan bandar pintar bersepadu di bawah penyelarasan Selangor Integrated & Intelligent Operations Centre (SIIOC), merangkumi aspek kesalinghubungan pintar, keselamatan awam, pengurusan trafik serta pengurusan banjir pintar.

Fahmi menjelaskan, MoU berkenaan memfokuskan tiga bidang utama iaitu:

  • Pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar

  • Peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik

  • Pelaksanaan sistem pengurusan banjir pintar

Menurutnya, pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar merupakan teras utama bandar pintar, termasuk peluasan rangkaian gentian optik, penyediaan kemudahan Wi-Fi awam dan sokongan berterusan kepada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan capaian Internet yang lebih luas, stabil dan berkualiti.

Setakat 31 Disember lalu, Selangor dengan populasi sekitar 7.4 juta penduduk telah mencapai 96.9 peratus liputan rangkaian 5G, sekali gus menjadikan negeri ini peneraju liputan teknologi berkenaan di Malaysia.