SHAH ALAM, 20 JAN: Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas dipercayai tercekik rambutan dalam kejadian di rumahnya di Felda Neram 1, Kemaman, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman pada jam 2.50 petang.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mangsa sedang memakan rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.
“Kakak mangsa mengupas rambutan dan memberi adiknya makan sebelum mangsa secara tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas dipercayai akibat buah tersebut tersekat di kerongkong,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Razi berkata, ahli keluarga yang menyedari kejadian segera membawa mangsa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
“Bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah tercekik dan terdapat buah rambutan pada kerongkong," katanya.


