SHAH ALAM, 23 OKT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Tampoi, Johor Bharu, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu dipercayai berlaku ketika murid Tahun Satu berkenaan sedang bermain basikal di luar rumahnya.
Difahamkan, ibu mangsa berada di dalam rumah ketika kejadian, manakala bapanya yang bekerja sebagai kelindan lori keluar bekerja.
Ibu mangsa hanya mengetahui kejadian menimpa anak kedua daripada empat beradik itu selepas dimaklumkan oleh rakan mangsa.
BH melaporkan tinjauan di lokasi mendapati pasukan forensik menjalankan siasatan, termasuk mengambil basikal milik mangsa bagi membantu siasatan lanjut.
Mayat kanak-kanak berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
Setakat ini, kenyataan rasmi polis berhubung kejadian masih belum diperoleh.







