Kanak-kanak lelaki maut, terjatuh ketika mandi di bilik air rumah

25 Jun 2026, 9:38 AM
Kanak-kanak lelaki maut, terjatuh ketika mandi di bilik air rumah

SHAH ALAM, 25 JUN: Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai terjatuh ketika mandi di bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.01 malam daripada Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selepas mangsa dibawa ahli keluarganya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 5 petang ketika mangsa sedang mandi di bilik air rumahnya.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 5 petang semalam, di mana mangsa dikatakan terjatuh semasa sedang mandi di bilik air rumahnya dan mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut Naazron, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HCTM UKM untuk bedah siasat.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik HCTM UKM untuk bedah siasat, dan punca kematian masih lagi dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.