SUNGAI BULOH, 16 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai terjatuh selepas keluar dari kolam di sebuah taman tema air di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh sendiri selepas keluar dari kawasan kolam.
Menurutnya, mangsa kemudian berada dalam keadaan lemah serta tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata setakat ini siasatan tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhamad Zul Irfan Omar di talian 017-5393648 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.







