Jalan Kilang Padi ditutup sementara 23 Januari ini bagi kerja jambatan WCE

20 Jan 2026, 10:45 AM
Jalan Kilang Padi ditutup sementara 23 Januari ini bagi kerja jambatan WCE
Jalan Kilang Padi ditutup sementara 23 Januari ini bagi kerja jambatan WCE

SHAH ALAM, 20 JAN: West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB) akan melaksanakan kerja membuka jaring keselamatan dan penyokong Jambatan (RUB S7-9A) yang merentasi Jalan Kilang Padi di Kuala Selangor.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor memaklumkan sebahagian Jalan Kilang Padi di kawasan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) akan ditutup sementara bagi membolehkan kerja berkenaan dilaksanakan dengan selamat.

“Kerja tersebut akan dijalankan pada Jumaat, 23 Januari bermula jam 10 malam hingga 4 pagi,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi JKR Daerah Kuala Selangor.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penutupan.

Pengguna juga diminta mematuhi arahan papan tanda keselamatan serta petugas trafik yang bertugas bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan keselamatan semua pihak.

JKR turut memohon maaf atas kesulitan yang mungkin dialami orang ramai dan menghargai kesabaran serta kerjasama sepanjang tempoh pelaksanaan kerja tersebut.