SHAH ALAM, 20 JAN: Nasib Pusat Jagaan Kanak-Kanak Sri Saradha Devi Illam Malaysia yang hampir kehilangan premis akhirnya terbela apabila Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo menghulurkan sumbangan RM50,000 bagi memastikan pusat kebajikan itu terus beroperasi.
Menurut Gobind, pusat jagaan yang beroperasi selama 27 tahun di Rawang itu memerlukan sehingga RM800,000 bagi mengelakkan bangunan yang telah digunakan sejak sekian lama dijual oleh pemilik premis.
“Dengan sumbangan RM50,000 ini serta sokongan derma daripada pelbagai pihak, pusat jagaan ini berjaya diselamatkan dan dapat meneruskan operasi serta aktiviti kebajikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Gobind turut meluangkan masa melawat pusat tersebut, berinteraksi dengan para penghuni dan meninjau pengurusan serta keperluan semasa pusat jagaan itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat memaklumkan beliau turut hadir dalam lawatan ke pusat jagaan berkenaan di New Green Park pada Ahad lalu.

Dalam kenyataan berasingan, Wei Kiat berkata beliau menyumbang RM10,000 dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu mengumpul dana dalam tempoh singkat.
“Inilah bukti semangat empati dan keprihatinan masyarakat kita,” katanya.



