SHAH ALAM, 20 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan komuter percuma selama dua hari sempena sambutan Thaipusam pada 31 Januari dan 1 Februari, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau menjelaskan, inisiatif ini melibatkan kos hampir RM1 juta dan bertujuan menjadikan sambutan Thaipusam lebih bermakna, khususnya kepada penganut agama Hindu yang menuju ke Batu Caves, lapor Berita Harian.
“Tambang percuma ini akan bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam, dengan sistem imbasan keluar automatik (ACG) digunakan sepanjang tempoh itu,” katanya pada sidang media di KL Sentral hari ini.
KTMB menjangkakan kapasiti penuh penumpang sepanjang dua hari tersebut, dengan unjuran sehingga 450,000 orang menggunakan perkhidmatan komuter untuk berulang alik ke Batu Caves.


