Peniaga asing didakwa kembali berniaga, MPS perketat pemantauan

19 Jan 2026, 2:11 AM
Peniaga asing didakwa kembali berniaga, MPS perketat pemantauan

SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan terus memperketat penguatkuasaan dan pemantauan terhadap aktiviti perniagaan susulan aduan orang ramai mengenai kemunculan semula peniaga asing tanpa lesen.

Tindakan itu diambil selepas peniaga terbabit didakwa kembali beroperasi hanya seminggu selepas satu operasi penguatkuasaan besar-besaran dijalankan di sekitar Selayang.

MPS memaklumkan operasi penguatkuasaan pada 8 Januari lalu yang menyaksikan 49 notis kompaun dikeluarkan serta rampasan barangan tidak hanya tertumpu di Jalan Besar Selayang Baru.

Menurut MPS, operasi serentak turut dilaksanakan di beberapa lokasi lain termasuk Jalan Melati 1, kawasan gerai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta kawasan di bawah jejambat berhampiran.

Terdahulu, tular satu video dimuat naik seorang pengguna media sosial menggunakan nama “Abe O Abe” yang didakwa memaparkan seorang peniaga asing kembali menjalankan perniagaan menjual ayam berhampiran pasar tani kekal FAMA selepas operasi dijalankan.

Selain itu, beberapa pengguna media sosial turut mendakwa terdapat individu bertindak sebagai 'mata-mata' yang memberi amaran awal kepada peniaga sebelum ketibaan anggota penguat kuasa MPS.

Mengulas dakwaan berkenaan, Jabatan Penguatkuasaan MPS memaklumkan pemeriksaan di lokasi yang ditunjukkan dalam video tersebut mendapati khemah yang digunakan peniaga terbabit telah dialihkan.

“Bagi memastikan ketenteraman awam, MPS akan terus menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap gerai atau khemah di lokasi sama bagi tujuan pemeriksaan pematuhan, termasuk pengesahan permit perniagaan yang sah,” katanya seperti dilapor StarMetro.

MPS turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti perniagaan di kawasan pentadbirannya mematuhi peraturan ditetapkan.