Remaja 13 tahun dilarikan dalam kereta ditemui selamat

19 Jan 2026, 12:55 AM
Remaja 13 tahun dilarikan dalam kereta ditemui selamat

SHAH ALAM, 19 JAN: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dilarikan individu tidak dikenali ketika berada di dalam sebuah kereta yang diparkir berhampiran sebuah sekolah menengah di Seksyen 25, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7 petang sebelum pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, mangsa berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva.

“Siasatan mendapati mangsa telah meminta kunci kereta daripada bapanya bagi menghidupkan enjin kerana ingin duduk di dalam kereta.

“Mangsa duduk di bahagian tempat duduk belakang dan bermain telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramsay berkata, suspek kemudiannya memasuki kenderaan berkenaan dan hanya menyedari terdapat mangsa apabila kanak-kanak itu menjerit.

Tambahnya, suspek tidak bertindak kasar, sebaliknya hanya mengarahkan mangsa supaya diam.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa bersama kenderaan terbabit ditemui dalam keadaan selamat di tepi jalan berhampiran sebuah restoran kira-kira empat kilometer (km) dari lokasi kejadian.

“Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan namun masih trauma atas kejadian yang berlaku.

“Kenderaan yang dijumpai telah diperiksa oleh Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau menegaskan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan serta Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak di bawah umur daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394,” katanya.