SHAH ALAM, 18 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat penularan video senaman aerobik di media sosial yang dipercayai berlaku di Bukit Badong susulan dakwaan mengandungi perlakuan tidak sopan di tempat awam.
Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang bercanggah dengan adab, norma masyarakat serta peruntukan undang-undang sedia ada.
“JAIS memandang serius perbuatan ini dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang kerana perbuatan tersebut selain sangat tidak beradab, ia mengandungi beberapa elemen perlakuan tidak sopan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
"JAIS sedang menyiasat kejadian tersebut termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan indvidu-individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Mohd Shahzihan, kandungan video berkenaan disifatkan tidak beradab dan mengandungi perlakuan tidak sopan di tempat awam yang boleh mencemarkan imej serta kesucian agama Islam.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline JAIS di talian 1800-88-2424.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan aksi dua wanita melakukan senaman aerobik dengan mengenakan pakaian kurang sopan di atas pentas ketika siaran langsung TikTok sehingga mencetuskan kemarahan warga maya.
Menerusi perkongsian seorang individu di Facebook, kelihatan dua wanita dilihat berpakaian baju kurung sekolah bersama seluar ketat manakala seorang lagi wanita berpakaian sama dipercayai memakai seluar pendek sahaja.


