SHAH ALAM, 21 JAN: Satu kertas siasatan dibuka berhubung penganjuran aktiviti senaman aerobik atau Zumba secara tidak sopan di Dewan Orang Ramai Bukit Badong, Bestari Jaya, Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, memaklumkan seorang individu telah tampil menyerah diri pada Isnin bagi membantu siasatan.
"Manakala individu-individu lain yang terlibat telah dikenal pasti dan siasatan terhadap mereka sedang berjalan," katanya kepada Media Selangor hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan keterangan awal individu yang menyerah diri, semua pihak terlibat akan disiasat di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, berkaitan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan wanita berpakaian seragam sekolah melakukan senaman aerobik bertemakan 'Back To School' secara tidak sopan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin, berkata siasatan awal mendapati salah seorang peserta dipercayai menanggalkan kain sekolah bagi memudahkan pergerakan semasa program berlangsung.
Program yang disiarkan secara langsung melalui aplikasi TikTok itu mendapat kecaman ramai pengguna, yang menggesa tindakan tegas diambil.


