Atlet para dipelawa sertai pencarian bakat pasukan Selangor 2026

17 Jan 2026, 10:00 AM
Atlet para dipelawa sertai pencarian bakat pasukan Selangor 2026

SHAH ALAM, 17 JAN: Pencarian bakat dan atlet pasukan para Selangor 2026 dibuka untuk mengenal pasti, membimbing, dan membangunkan atlet berpotensi mewakili negeri ke peringkat lebih tinggi, sejajar agenda sukan inklusif Selangor.

Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron, berkata program ini merangkumi 10 kategori sukan para.

"Ia merangkumi para badminton, para memanah, para renang, para catur, boccia, para boling padang, para tenpin boling, para olahraga, para pingpong serta powerlifting.

"Penyertaan terbuka kepada atlet para yang berumur 12-40 tahun dengan kriteria pencarian cacat anggota badan, celebral parsy, cacat penglihatan, kerdil dan berkerusi roda," katanya.

Beliau menjelaskan inisiatif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memberi peluang kepada atlet para mengasah bakat, menunjukkan kemampuan, dan menyertai pasukan rasmi negeri untuk kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan, dan antarabangsa.

"Pencarian bakat berkenaan bukan sekadar platform pemilihan atlet, malah berfungsi sebagai medan pembangunan jangka panjang dalam melahirkan barisan atlet para yang berdaya saing, berdisiplin serta berprestasi tinggi.

Inisiatif itu juga katanya, selari dengan komitmen Kerajaan Selangor dalam memperkasa sukan inklusif dan membina generasi masa depan Selangor yang cemerlang.

"Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran secara dalam talian menerusi laman rasmi www.msnselangor.gov.my.

"Program ini dilihat sebagai peluang terbaik buat atlet para untuk melangkah ke pentas lebih besar dan bersama-sama menjayakan aspirasi Selangor Maju Bersama.