
SHAH ALAM, 15 OGOS: Kecemerlangan Sukan Malaysia (SUKMA) bukan hanya diukur melalui pungutan pingat atau kedudukan di podium, tetapi juga peluang yang diberikan kepada setiap bakat untuk berkembang tanpa mengira keupayaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor mahu membina legasi sukan lebih inklusif dengan menghormati keupayaan setiap individu serta memastikan semua atlet termasuk atlet Para diberi ruang mencapai potensi masing-masing.
“Bagi Selangor, kecemerlangan tidak boleh hanya diukur berdasarkan siapa yang berdiri paling tinggi di atas podium.
“Kecemerlangan juga mesti diukur melalui sejauh mana kita menyediakan peluang, menghormati keupayaan setiap insan dan memastikan setiap bakat mempunyai ruang untuk berkembang,” katanya dalam sembah ucapan sempena Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 malam ini.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan lafaz perasmian di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, menandakan kepulangan temasya dwitahunan itu ke Selangor selepas 28 tahun.
Mengulas mengenai atlet Para, Amirudin berkata mereka membuktikan keupayaan seseorang tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan batas fizikal.
“Mereka membuktikan bahawa ketekunan, keberanian dan kekuatan jiwa mampu membawa seseorang jauh melampaui apa yang pernah dianggap mustahil.
“Mereka bukan sekadar peserta dalam temasya ini tetapi mereka juga adalah berprestasi tinggi, pesaing yang berwibawa dan sumber inspirasi kepada seluruh negara,” katanya.
Menurut Amirudin, kejayaan temasya itu juga perlu dilihat daripada kesan jangka panjang yang ditinggalkan selepas pertandingan berakhir, terutama dalam membentuk generasi muda yang berani, berdisiplin dan yakin mengejar cita-cita.

Katanya, legasi yang mahu dibina bukan hanya berteraskan prasarana, pingat atau angka, sebaliknya melahirkan generasi yang berani bermimpi, cekal berusaha dan yakin dengan kemampuan menjadi juara.
“Kita mahu anak-anak muda yang menyaksikan temasya ini melihat bukan sahaja sebuah pertandingan, tetapi juga suatu kemungkinan.
“Kita mahu mereka percaya bahawa dengan disiplin, usaha dan peluang yang sewajarnya, tiada impian yang terlalu jauh dan tiada kejayaan yang mustahil dicapai,” katanya.
SUKMA 2026 mempertandingkan 468 acara melibatkan 37 jenis sukan sebagai medan mencungkil dan membangunkan bakat muda yang berpotensi melangkah ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa.










