SUKMA 2026: Insentif atlet para disetarakan dengan atlet biasa - EXCO

10 Feb 2026, 2:00 PM
SUKMA 2026: Insentif atlet para disetarakan dengan atlet biasa - EXCO
SUKMA 2026: Insentif atlet para disetarakan dengan atlet biasa - EXCO
SUKMA 2026: Insentif atlet para disetarakan dengan atlet biasa - EXCO

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian insentif atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) negeri itu akan disetarakan dengan atlet ‘able’ (biasa) pada temasya SUKMA 2026.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata jumlah pemberian insentif akan diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas pelancaran Selangor Road To Champion Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Di peringkat majlis sukan negeri kini ada unit khas yang menyelia dan mentadbir urusan atlet para termasuk program pembangunan, latihan, elaun dan kebajikan. Menerusi unit ini, kita mahu pastikan atlet para menerima latihan sama dengan atlet biasa sekaligus menyumbang kepada kejayaan.

“Oleh itu, kita tetapkan insentif kemenangan yang bakal atlet para terima setara dengan atlet ‘able’. Contohnya pada SUKMA lepas mereka yang menang pingat emas menerima RM10,000, jadi atlet para juga kita mahu terima insentif sama.

“Kita tidak mahu ada diskriminasi daripada segi insentif dan Kerajaan Negeri juga mahu menghapuskan persepsi atau stigma melihat atlet para ini sebagai atlet kelas kedua… kita tidak mahu mereka dipandang seumpama ini dan mereka perlu terima layanan seadilnya,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran program Selangor Road to Champion Para SUKMA 2026, yang turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kontinjen dan bapa angkat pasukan Para SUKMA Selangor.

Terdahulu, wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei dilantik sebagai ketua kontinjen Para SUKMA, manakala Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dr Ani Ahmad dilantik sebagai timbalan ketua kontinjen.

Selain itu, 10 badan berkanun dan anak syarikat Kerajaan Negeri turut dilantik sebagai bapa angkat sukan, antaranya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (Badminton), Lembaga Urus Air Selangor (Ping Pong), Invest Selangor (Renang) dan Yayasan Selangor (Boccia).

Mohd Najwan memaklumkan, setakat ini seramai 141 atlet para telah dikenal pasti untuk menyertai temasya yang berlangsung di Klang dan Petaling.

“Setakat ini, jumlah sebenar atlet terlibat masih belum dipastikan lagi namun mereka semua akan terlibat dengan 312 acara.

“Kita akan pantau atlet para dari semasa ke semasa dan tidak semestinya mereka yang menyertai kejohanan tertinggi akan sertai SUKMA. Kita mahu beri peluang pada atlet baharu dan mereka yang berdisiplin dalam latihan… pemilihan bukan berasaskan melobi atau kabel,” katanya.

Untuk rekod, 10 jenis sukan dipertanding pada temasya Para SUKMA 2026 yang berlangsung pada 5 hingga 10 September, iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.