SHAH ALAM, 17 JAN: Permohonan sumbangan persekolahan di bawah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dibuka mulai hujung bulan ini.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan berjumlah RM1.7 juta untuk program Kembali Ke Sekolah itu bakal memanfaatkan seramai 16,800 pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
“Permohonan boleh dibuat melalui pusat khidmat atau penyelaras dewan undangan negeri. Kita akan tawarkan RM100 kepada pelajar namun masih belum putuskan sama ada bantuan tunai atau barangan.
“Setiap DUN boleh membantu 300 pelajar. Lepas permohonan, MBI akan membuat semakan bagi memastikan bantuan sampai kepada pelajar benar-benar layak,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Ahmad Azri berkata hampir RM20 juta di belanjakan sepanjang lebih 10 tahun bagi membantu kira-kira sejuta pelajar menyediakan kelengkapan sekolah.
Usaha itu juga sebagai langkah memastikan pelajar terutama kalangan keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada akses pendidikan.
Pemohon perlu mendaftar di pusat khidmat DUN masing-masing dan menyediakan dokumen sokongan antaranya salinan kad pengenalan ibu bapa, sijil kelahiran atau MyKid.
Selain bantuan itu, Yayasan MBI turut menyalur pelbagai inisiatif pendidikan antaranya Program Tuisyen Rakyat Selangor, sumbangan komputer riba serta rangkaian data internet.


