Bot kayu dipintas, cubaan seludup keluar 32 PATI gagal

16 Jan 2026, 12:47 PM
Bot kayu dipintas, cubaan seludup keluar 32 PATI gagal

SHAH ALAM, 16 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 32 pendatang tanpa izin (PATI) selepas memintas sebuah bot kayu di perairan Kuala Selangor, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata bot berkenaan ditahan kira-kira jam 4.15 pagi ketika rondaan Op EHSAN dan Op Khas TANJUNG 2 Siri 1/2026 dijalankan.

“Bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah vesel kayu berwarna merah dan biru tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor.

“Vesel tersebut diarahkan berhenti untuk pemeriksaan namun juragan bot enggan mematuhi arahan dan cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati seramai 32 PATI terdiri daripada 23 lelaki dan sembilan wanita, berusia antara 24 hingga 60 tahun, berada di atas bot berkenaan dan dipercayai cuba keluar dari negara ini secara haram.

“Selepas kira-kira 15 minit aksi kejar-mengejar, bot berkenaan berjaya dipintas dan ditahan oleh pasukan penguat kuasa.

“Kesemua PATI yang ditahan merupakan warganegara Indonesia dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Mohd Fairusnizam memaklumkan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kesemua suspek bersama vesel dirampas dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan rondaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan migran di perairan negara.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau sebarang insiden di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.