Jawatankuasa Bertindak Thaipusam pastikan sambutan lancar, selaras tuntutan agama

16 Jan 2026, 11:19 AM
Jawatankuasa Bertindak Thaipusam pastikan sambutan lancar, selaras tuntutan agama

Petaling Jaya, 16 JAN: Jawatankuasa Bertindak Thaipusam meneruskan peranan untuk tahun ke-12 berturut-turut bagi memastikan sambutan Thaipusam pada 1 Februari ini berjalan lancar, harmoni dan mematuhi tuntutan keagamaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata keutamaan jawatankuasa adalah memastikan penganut Hindu dapat menunaikan ibadat dalam suasana yang selesa, selamat dan penuh penghayatan.

Menurut beliau, pengalaman lebih sedekad pasukan sukarelawan itu membolehkan pelbagai penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan bagi menangani cabaran yang timbul setiap tahun.

“Bagi sambutan kali ini, pasukan petugas akan ditempatkan di beberapa lokasi utama termasuk Batu Caves di Selangor, Sungai Petani di Kedah, Kuala Selangor, Kallumalai di Ipoh serta Thannirmalai di Pulau Pinang.

“Di Batu Caves sahaja, seramai kira-kira 300 sukarelawan akan digerakkan bagi memantau keadaan sepanjang tempoh perayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Gunaraj berkata, tumpuan utama jawatankuasa merangkumi pemantauan penjualan minuman keras, pengurusan kebersihan serta kawalan kesesakan lalu lintas, khususnya melibatkan isu parkir motosikal yang tidak teratur.

Sehubungan itu, beliau menggesa penganut dan pengunjung supaya menggunakan pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan di sekitar kawasan sambutan.

Beliau menegaskan bahawa objektif utama jawatankuasa adalah memastikan sambutan Thaipusam diraikan berlandaskan nilai murni agama, selain menyeru kerjasama semua pihak bagi mengekalkan keharmonian sepanjang perayaan.