SHAH ALAM, 15 JAN: Kumpulan Pentas Flora menjelaskan kebakaran melibatkan fasiliti milik mereka di Kawasan Perindustrian Olak Lempit di Banting dekat sini semalam, tidak menjejaskan kemudahan pemulihan sisa berjadual, jentera atau sebarang bahan berbahaya.
Pentas Flora dalam kenyataan memaklumkan kawasan terjejas merupakan plot tapak pembinaan dimiliki syarikat pengurusan sisa berjadual itu yang kini dijadikan tempat letak kereta dengan perancangan menjadikannya sebagai parkir dan bengkel kenderaan mereka pada masa hadapan.
“Sebaik sahaja menyedari kebakaran, protokol kecemasan segera diaktifkan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat digerakkan ke lokasi. Pada masa ini, kami masih menilai kerosakan dan akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan segera.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan sedang menjalankan siasatan menyeluruh buat masa ini. Setakat ini, punca kebakaran masih belum dipastikan. Pentas Flora memberi kerjasama penuh kepada pihak terlibat bagi memastikan siasatan yang komprehensif,” menurut kenyataan itu.
Syarikat tersebut memohon maaf kepada penduduk berhampiran serta komuniti setempat atas kesulitan dialami dan menambah mereka mengambil serius perkara itu selain akan mengeluarkan laporan berhubung punca kejadian selepas siasatan selesai.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan operasi pemadaman kebakaran itu telah 95 peratus dipadamkan dan dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya pada petang ini.
Kebakaran itu menyebabkan tiga rentung dengan mayat mereka ditemukan semasa pemeriksaan lokasi kejadian dilakukan.




